YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan bantuan wang ihsan banjir pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Daerah Kuantan di SK Pelindung, hari ini.

RM27 JUTA BANTU KERJA-KERJA KURANGKAN RISIKO BANJIR

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim

KUANTAN, 19 JANUARI 2023 : Sebanyak RM27 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan dilihat mampu membantu kerja-kerja mengurangkan risiko banjir di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia menjadi nilai tambahan kepada peruntukan yang telah dikeluarkan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah banjir untuk tempoh jangka masa pendek.

“Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan RM47 juta untuk kerja-kerja seperti melebarkan sungai, mendalamkan longkang sedikit sebanyak mengurangkan risiko kejadian banjir. Itu yang kita lihat baru-baru ini kesan banjir tidaklah seteruk berbanding negeri lain

“Kita pun terkesan juga walau tak teruk, saya telah kemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan dan telah berjumpa Timbalan Perdana Menteri dengan menyatakan bahawa ada kerja-kerja untuk jangka masa pendek perlu diselesaikan untuk memastikan risiko banjir dapat dikurangkan pada masa hadapan,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Daerah Kuantan di SK Pelindung, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin serta Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.

Dalam pada itu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, sehubungan keperluan yang dinyatakan, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk salurkan bantuan RM27 juta kepada Kerajaan Negeri.

“Kita akan teruskan kerja-kerja seperti lebarkan longkang-longkang dan itu untuk jangka masa pendek.

“Kerajaan Negeri akan usahakan untuk jangka panjang pula seperti kerja-kerja mendalamkan sungai serta tambakan bagi mengekang masalah banjir dengan lebih berkesan,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan bantuan wang ihsan banjir pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Daerah Kuantan di SK Pelindung, hari ini.

Seramai 802 ketua isi rumah (KIR) di negeri ini yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ekoran bencana banjir yag melanda hujung tahun lalu bakal menerima sumbangan berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga.

Bantuan berkenaan merupakan peruntukan yang disalurkan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjumlah RM1 juta kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.

Sebanyak tujuh buah daerah di negeri ini telah terlibat dengan kejadian banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang berlaku baru-baru iaitu daerah Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Bera, Kuantan dan Pekan.

Seramai 206 mangsa banjir di Kuantan menerima sumbangan yang disampaikan hari ini manakala mangsa-mangsa banjir di daerah lain akan menerima bantuan selewat-lewatnya pada 16 Februari depan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram