Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 18 JANUARI 2023 : Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) sentiasa berusaha memberi kesedaran berkenaan kepentingan celik politik di kalangan generasi muda.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, antara usaha yang dilakukan ialah melalui program Parlimen Mahasiswa selain program-program yang diadakan bersama golongan muda.

“MUBARAK bukan hanya sebuah majlis biasa, tapi kita turut berfungsi memberi kesedaran dan berkongsi pengalaman terutamanya kepada anak muda mengenai realiti politik hari ini.
“Kita melihat banyak sebaran yang salah di media sosial, jadi kita perlu bertindak memberi kesedaran melalui pengalaman yang kita ada sekaligus mampu mendidik mereka jika ditakdirkan menjadi pemimpin pelapis pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan kepada waris ahli MUBARAK yang telah meninggal dunia di Rumah MUBARAK Pahang, di sini.
Turut hadir Bendahari MUBARAK Pahang, Dato Haji Mohamed Arifin Awang Ismail serta ahli jawatankuasa, Dato’ Sri Maznah Mazlan.
Dalam pada itu, beliau berkata lebih seribu ahli MUBARAK dicatat di seluruh Malaysia melibatkan kira-kira 60 orang ahli di negeri Pahang.
“Keahlian MUBARAK ini terbuka kepada mana-mana bekas wakil rakyat tanpa mengira fahaman serta ideologi dan dari parti politik mana.
“Kita sentiasa terbuka untuk sama-sama bertukar pandangan, saling bantu membantu mana ahli yang memerlukan termasuk ahli yang sakit serta waris yang telah meninggal dunia,” katanya.
Katanya lagi MUBARAK sentiasa menerima sokongan padu daripada YAB Menteri Besar Pahang yang telah banyak memberi perhatian dan bantuan bagi meringankan beban ahli terlibat. -PAHANGMEDIA