Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 16 JANUARI 2023 : Kejayaan Kerajaan Negeri Pahang mencapai sasaran kutipan hasil lebih RM1 bilion pada tahun lalu memberi keyakinan untuk terus mencatat kecemerlangan pada tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan yang dicapai sememangnya menjadi pemangkin untuk beliau dan seluruh pentadbiran negeri lebih komited terhadap perancangan yang dilakukan.
“Setiap tahun kita buat penetapan sasaran hasil dalam Belanjawan, dan pada tahun ini sudah pasti ada sasarannya.
“Tahun lepas lebih RM1 bilion, jadi tahun ini sudah pasti kita sasarkan lebih dari angka yang kita dah capai selain memastikan kita dapat salurkan kembali pada rakyat,” katanya dalam satu temubual eksklusif bertajuk Pahang Negeri Stabil dan Sejahtera di Radio RTM, PAHANGfm, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut menekankan lima strategi Belanjawan Utama dalam Belanjawan 2023 melibatkan peruntukan sebanyak RM1. 071 bilion.
“Sektor ekonomi negeri akan dilonjakkan lagi dan saya yakin jumlah pelaburan yang akan masuk ke negeri ini juga akan bertambah.
“Kita juga merancang untuk meningkatkan bidang kecukupan bekalan makanan atau food security melalui langkah dan strategi yang telah disusun mengikut sektor dan industri dengan matlamat menyuntik rangsangan kepada industri berkaitan kecukupan bekalan dan agromakanan,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM322 juta pada tahun ini membiayai 14 buah projek perkhidmatan bekalan air selain RM80 juta bagi menjayakan pelbagai bentul program kebajikan untuk rakyat seperti Bantuan Prihatin Pahang dan juga Program Kebanggaan Pahang. – PAHANGMEDIA