Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 16 JANUARI 2022 : Seramai 11 Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Pahang telah menerima surat pelantikan daripada Kerajaan Negeri Pahang hari ini.
Penyerahan surat lantikan kepada kesemua ahli SPA berkenaan telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan disaksikan oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.
YAB Menteri Besar Pahang dalam ucapan amanat berkata, pelantikan kesemua ahli SPA ini adalah bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2024.
“Tugas sebagai kakitangan SPA Negeri Pahang bukannya satu tugas yang mudah kerana ia menuntut komitmen kerja yang tinggi terutamanya dalam mengurus hal ehwal perjawatan anggota perkhidmatan awam di negeri ini.
“Di Pahang kita mempunyai lebih kurang 8,000 orang kakitangan awam yang perlu sentiasa dipantau dan dinilai.

“Selain itu, dalam usaha kita untuk memajukan Negeri Pahang, kita memerlukan kakitangan awam yang benar-benar berkualiti, berdisiplin dan amanah, dan untuk menghasilkan kakitangan awam yang sebegini ia merupakan sebahagian daripada tugas SPA,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ahlj Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Turut hadir, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Haji Mohamad Roslan Harun; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Dr. Mohd Zakaria Ibrahim dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang, YH. Dato’ Toantowee Haji Mohd Lotfie.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut berharap ahli SPA Pahang yang dilantik ini dapat melaksanakan tugas yang diberikan dengan baik dan cemerlang.
Bagi perkhidmatan SPA Negeri Pahang 2023/2024, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Haji Mohamad Roslan Harun; dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang, YH. Dato’ Toantowee Haji Mohd Lotfie.
Sembilan orang ahli SPA Negeri Pahang pula adalah YH Dato’ Sri Sharifuddin Abdul Ghani; YH Dato’ Sri Wan Abdullah Wan Salleh; YH Dato’ Indera Haji Mohd Paiz Kamaruzaman; YH Dato’ Dr. Abd Halim Mohd Hussin; YH Dato’ Hajjah Zainon Ahmad; YH Dato’ Haji Othman Nordin; YH Dato’ Hajjah Mariam Ismail; YH Dato’ Haji Mohd Ghazali Abdul Aziz; dan YH Dato’ Haji Zainal Azman Haji Bidin. – PAHANGMEDIA