Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Encik Fadzli Mohamad Kamal ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 hari ini

UMNO PERLU LAKSANA EMPAT STRATEGI SEBELUM RANGKA LALUAN MASA DEPAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LUMPUR, 14 JANUARI 2023 : UMNO perlu memperkemas pendekatan terbaik sebelum memeta laluan masa hadapan dalam perjuangannya untuk kembali menobatkan parti itu sebagai relevan kepada orang Melayu dan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau telah berkongsi empat strategi atau jalan masa depan yang dapat dilakukan oleh UMNO bagi memastikan parti itu kekal relevan.

“Antaranya berkaitan dengan melakukan ‘post mortem’ parti yang jujur dan ikhlas, juga berkait dengan pelaburan secara besar-besaran untuk data, kajian dan penyelidikan melaksanakan gerak kerja atau strategi baru kepada parti dan tidak kurang penting juga berkait dengan melaksanakan strategi media dan komunikasi yang betul serta tepat,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mencadangkan agar rombakan cara kerja lama perlu dilakukan seterusnya mencari strategi baharu dengan mengambil pelbagai pendekatan yang berbeza-beza.

Dalam pada itu, beliau berkata, meski pun Perhimpunan Agung UMNO 2022 kali ini diadakan dalam suasana berbeza selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) baru-baru ini namun ianya akan dapat membawa satu keputusan yang baik dan kembali memperkukuhkan perpaduan di kalangan ahli parti itu. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram