Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUALA LUMPUR, 13 JANUARI 2023 : UMNO memerlukan kaedah baharu dalam perjuangan parti itu terutamanya untuk mendekati rakyat dan pengundi muda serta tidak hanya bergantung dengan kaedah lama.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ucapan dasar oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkan sangat telus turut menekankan aspek perubahan dalam mendekati rakyat khususnya pengundi.
“Alhamdulillah pada pengamatan saya, pendengaran saya, satu ucapan yang sangat bagus, telus dan berterus terang, saya harap perwakilan dapat merasai, menjiwai, komited dan laksanakan apa yang telah disarankan oleh presiden.
“Bermakna kita kena kerja kuat, ada beberapa perubahan yang telah disentuh tadi dan kita tidak boleh gunakan cara dan kaedah lama untuk mendekati rakyat atau pun pengundi dan kita kena berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pembentangan Peringatan Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2021, Pembentangan Penyata Tahunan 2021/2022 dan Pembentangan Penyata Kewangan di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO merupakan parti yang matang dan percaya semua perwakilan dapat mengikuti perbahasan sehingga hari terakhir (Sabtu) supaya semua pihak dapat melihat, membuat rumusan dan kesimpulan yang baik untuk UMNO. – PAHANGMEDIA