Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUALA LUMPUR, 12 JANUARI 2023 : Pemuda UMNO perlu memberikan sokongan dan kepercayaan sepenuhnya kepada parti keramat itu dalam melalui proses pemulihan bagi mendapatkan kembali keyakinan rakyat.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Encik Mohd Farid Mohd Nor berkata, ucapan dasar oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut menggariskan keperluan UMNO melakukan pembersihan dalaman supaya parti hanya diterajui oleh ahli dan pemimpin yang benar-benar komited terhadap perjuangan dan usaha parti.

“Beri keyakinan kepada UMNO untuk pulih, sokonglah proses dan usaha-usaha pemulihan, kita berada di dalam kedudukan paling bawah ketika ini, hanya keyakinan dan kepercayaan kepada perjuangan yang boleh memulihkan UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Beliau turut menggesa agar Pemuda UMNO mempunyai keyakinan bahawa parti UMNO mampu dipulihkan dan parti ini mampu mendapat semula kepercayaan rakyat.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Encik Khairul Nizam Mohamad Zuldin berkata, barisan Pemuda perlulah bersemangat untuk terus bangkit tanpa melengahkan masa untuk mendapatkan semula sokongan rakyat dengan mengatur strategi terbaik bagi meraih kepercayaan rakyat.
“Bagi saya apa yang penting adalah hala tuju, ke mana Pemuda UMNO untuk bawa kita supaya rakyat akan memberi sokongan yang lebih baik kepada kita terutama golongan muda,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa parti harus mengenalpasti punca sebenar kekalahan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mendapatkan jalan penyelesaian bagi memastikan sokongan rakyat pada PRU16 nanti. – PAHANGMEDIA