Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
KUANTAN, 11 JANUARI 2023 : Projek pemasangan paip pembentungan di tiga lokasi sekitar bandar ini dijangka dapat diselesaikan pada Mac depan dan dapat menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas yang berlaku.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia melibatkan Jalan Teluk Sisik, Jalan Gambut dan Sungai Soi di Tanjung Lumpur.
“Saya juga menyampaikan hasrat YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang mahu isu kesesakan lalulintas dan kerosakan jalan ini diselesai segera dengan sebaik mungkin demi keselesaan rakyat malah Kuantan berstatus Bandaraya, sepatutnya keadaan jalan dan lalu lintas Kuantan berada pada tahap yang amat baik.
“Saya menekankan kepentingan semua yang terlibat untuk memastikan SOP kerja dilaksanakan dengan tepat dan berkesan serta memastikan kesan yang akan dihadapi rakyat termasuk kita semua. Jangan buat kerja lebih kurang (sambil lewa), menyiapkan kerja melebihi jangka waktu ditetapkan atau melantik agensi tidak bertauliah dalam memantau lalulintas ketika projek dilaksanakan.
“Alhamdulillah, saya difahamkan dan diberi jaminan Pengurus Besar Syarikat Jalur Cahaya Sdn Bhd, Encik Razali Mohamad, bahawa projek pemasangan paip pembentungan di Jalan Teluk Sisik (berhampiran Satay Zul), Jalan Gambut dan Sungai Soi di Tanjung Lumpur (berhampiran Pak Mahat dan Bandar Putra) akan siap selewat-lewatnya April ini atau lebih awal dari itu (Mac) sekaligus isu kesesakan lalu lintas di lokasi tersebut dapat diatasi. InsyaAllah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Bagi Kerja-Kerja Penyelenggaraan Jalan Daerah Kuantan di bilik mesyuarat utama Kompleks Bandaraya Kuantan, Majlis Bandaraya Kuantan di sini semalam.
Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun; Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin.
Menurut beliau, mesyuarat yang dijalankan ini bertujuan untuk menyelaras dan memantau isu berkaitan jalan negeri, jalan persekutuan dan jalan perbandaran, serta kerja penyelenggaran ‘Korek Gali’ jalan yang dilaksanakan agensi utiliti, konsesi jalan, kontraktor, Jabatan Kerja Raya, dan pihak terlibat di sekitar daerah ini.
“Mesyuarat juga bagi mendengar penyelarasan dan cadangan bagi menaiktaraf sistem jalan raya untuk mengatasi isu kesesakan jalan dan mencari inisiatif mendapatkan peruntukan, tambahbaik, menaiktaraf pelaksanaan projek melibatkan lalulintas di bandar Kuantan dan seluruh negeri, amnya.
“Malah kajian lalu lintas dan pengangkutan awam, isu-isu serta cadangan bagi mengatasi kesesakan yang dibentangkan UMP (Kolej Kejuruteraan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam) juga diberi perhatian hari ini. Pandangan JKR, MBK, kontraktor terlibat di dengar dan diambilkira dalam mesyuarat pertama kali ini.
“Selaku Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan Negeri Pahang, perkara ini amat penting bagi saya dalam mencari solusi terbaik mengatasi masalah berkenaan isu kesesakan lalulintas dan kerosakan jalan di bandar Kuantan,” katanya.
Tambah beliau lagi, kesemua perkara yang diputuskan di dalam mesyuarat berkenaan akan disampaikan kepada YAB Menteri Besar Pahang dan akan dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang.
“Saya mahu melihat semua kesan pelaksanaan dibincangkan hari ini dalam masa tiga bulan lagi. Mesyuarat akan diadakan lebih kerap untuk melihat kesan dan progres pelaksanaan,” katanya. -PAHANGMEDIA