Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Johari Harun melihat keretakan struktur binaan rumah di sebuah taman perumahan di Tanjung Lumpur

KERAJAAN PAHANG SELESAI ISU RUMAH RETAK DI PERUMAHAN TANJUNG LUMPUR

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 3 JANUARI 2023 : Kerajaan Pahang akan menyelesaikan isu kira-kira 30 rumah yang mengalami keretakan struktur binaannya di sebuah taman perumahan di Tanjung Lumpur yang dipercayai berpunca daripada projek pembentungan berhampiran.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata, satu perjumpaan diadakan bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang dialami pembeli perumahan terbabit.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin membantu sebaik mungkin dan juga kebajikan dan hak pembeli terbela sebaik mungkin.

“Wakil daripada MBK pun ada hari ini, wakil daripada penduduk, jadi kita akan cubalah, InsyaaAllah bermula pada hari ini saya akan memberi perhatian secara berjadual untuk perkara ini berjalan, selepas satu minggu kita akan berjumpa balik sehinggalah perkara ini selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau sendiri keadaan kerosakan rumah-rumah di salah sebuah perumahan di Tanjung Lumpur, di sini hari ini.

Pada perjumpaan itu, beliau telah membawa pihak pemaju dan pihak-pihak berkaitan untuk bersemuka dengan penduduk perumahan terbabit bagi membincangkan isu permasalahan berkaitan kerosakan teruk pada rumah-rumah pembeli.

“Sebanyak 384 rumah telah siap dibina bagi fasa kedua perumahan terbabit namun kira-kira 30 rumah mengalami kerosakan teruk dipercayai akibat pelaksanaan projek pembentungan di kawasan berhampiran,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun ketika penduduk selepas melihat keretakan struktur binaan rumah di sebuah taman perumahan di Tanjung Lumpur

YB. Dato’ Sri Johari juga merancang untuk bertemu dengan arkitek yang bertanggungjawab terhadap kelulusan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) perumahan terbabit pada esok bagi mendengar penjelasan pihak berkenaan sekiranya terdapat kecuaian hingga mengakibatkan kerosakan teruk pada rumah-rumah terlibat.

“Saya nak tahu adakah berlaku kecuaian daripada mana-mana pihak dan sebagainya, jika ada berlaku kecuaian dia (arkitek) kena jawab dan kita akan bawa perkara ini ke atas,” katanya.

Beliau berkata, pihak kerajaan tidak memandang mudah perkara terbabit dan akan berusaha menyelesaikan isu tersebut. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram