YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

HADAPI TAHUN BARU 2023 DENGAN PENUH SEDIA – MB

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 31 DISEMBER 2022 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyeru kepada semua masyarakat khususnya rakyat Negeri Pahang agar dapat menghadapi tahun baru 2023 dengan penuh sedia daripada pelbagai aspek.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga telah bersiap sedia dengan pelbagai rangka perancangan pembangunan dan bantuan-bantuan serta inisiatif-inisiatif yang telah disusun untuk mendepani tahun 2023.

“Fajar 2023 yang menyingsing esok pasti tidak kurang mencabar. Setiap tahun baharu akan selalunya membawa bersama cabaran baharu. Namun, sikap dan tindakan kita harus positif.

“Secara peribadi, saya tidak mempunyai terlalu banyak sasaran melainkan untuk terus mencuba sedaya upaya meletakkan Pahang pada kedudukan yang lebih baik. Pahang harus makmur ekonominya, harus makmur hidup masyarakatnya, harus makmur serba-serbi.

“Saya menyeru kepada semua untuk menjadikan tahun 2023 sebagai tahun kita memberikan yang terbaik kepada negeri ini. Kita tolak segala cubaan yang boleh membawa kekeruhan. Baik dari segi ancaman perpaduan mahupun pecahan politik. Semua itu hanya merugikan,” katanya dalam satu hantaran di laman rasmi Facebook miliknya, di sini, hari ini.

Dalam hantaran sama, beliau turut berkongsi suka duka sepanjang 2022 yang disifatkan mencabar apabila perlu mendepani pasca COVID-19, bencana, dan pelbagai ujian yang dapat mematangkan semua pihak sebagai sebuah masyarakat.

Malah katanya, tahun 2022 juga menyaksikan proses peralihan kuasa dan kerajaan yang tidak sunyi dari polemik dan kontroversi namun segala pergolakan politik itu dapat diharungi dengan baik.

“Jika diimbas, saya sejujurnya berasa amat sukacita kerana banyak yang telah berjaya dicapai oleh negeri kita. Pahang merekodkan hasil negeri tertinggi, iaitu melebihi RM1 bilion.

“Pahang juga berjaya merekodkan kemasukan pelaburan sebanyak RM20.5 bilion dan berjaya mengurangkan hutang negeri sehingga berbaki hanya RM900 juta,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram