YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail membantu memakaikan jubah kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang bagi penggal ke-15, hari ini.

DATO’ SRI MOHD SHARKAR DILANTIK SPEAKER DEWAN NEGERI PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi 

KUANTAN, 29 DISEMBER 2022 : Bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang bagi penggal ke-15, hari ini.

Usul pemilihan berkenaan dibawa oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Dato,’ Sri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.

Pada mesyuarat sama, ADN Bilut YB Encik Lee Chin Chen dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri bagi penggal ke-15 menggantikan Dato’ Sri Muhamed Jaafar yang menggalas tugas berkenaan sebelum ini.

Bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang bagi penggal ke-15, hari ini.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam ucapannya turut menitipkan keyakinan bahawa kedua-dua YB yang dilantik mampu melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya.

“Saya percaya YB mampu menggalas tanggungjawab serta menguruskan perjalanan Dewan yang mulia ini dengan baik dan penuh dedikasi seperti mana yang telah dilakukan oleh Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang pada penggal-penggal sebelum ini.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang iaitu YH. Dato’ Sri Ishak Muhamad dan mantan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YH. Dato’ Sri Muhamed Jaafar atas segala jasa dan sumbangan besar menguruskan perjalanan Dewan yang mulia ini dengan penuh bijaksana, adil dan saksama,” katanya.

Sementara itu, YB Dato’ Sri Mohd Sharkar yang ditemui menzahirkan penghargaan di atas sokongan pelantikannya sebagai Speaker Dewan Negeri yang baharu bagi penggal ini.

“Saya akan melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin dan berusaha sedaya upaya bagi memastikan elemen semak dan imbang di dalam Dewan Negeri dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kita memerlukan kerajaan yang mampu membangunkan negeri dan dalam masa sama kita perlukan pihak pembangkang yang baik sekaligus memastikan rakyat menerima manfaatnya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram