Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 DISEMBER 2022 : Sebanyak 1,220 buah premis dikesan mengalami masalah kekurangan bekalan keperluan asas melalui Ops Terjah yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Senator Puan Fuziah Salleh berkata, Ops Khas yang dilaksanakan bermula 16 Disember lalu itu telah memeriksa 4,732 buah premis sebagai langkah memastikan kestabilan bekalan barangan di pasaran.

“Saya dapati premis ini tidak menepati atau mencapai jumlah bekalan…ada masalah bekalan tapi tak semua jenis, ada yang tak cukup telur, ada minyak masak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau kedudukan bekalan dan memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di sekitar daerah Kuantan, hari ini.
Hadir sama Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang; Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Encik Azman Adam serta Pengarah KPDN Negeri Pahang, Dato’ Mark Ujin.
Sementara itu menyentuh berkenan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), YB Senator Puan Fuziah berkata sebanyak 1,008 buah premis telah diperiksa sejak hari pertama ia dilaksanakan.

“Setakat ini tiada aduan dan tiada kes dan ia (pelaksanaan SHMMP) dalam tempoh lima hari sahaja. Kita ada 2,200 orang anggota penguatkuasa yang berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan.
“Kita harap ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban pengguna berikutan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
“Kita juga nak sarankan pengguna bijak mengurus perbelanjaan seharian termasuk membuat perbandingan harga di lokaliti tertentu sebelum melakukan pembelian melalui kemudahan Price Catcher yang disediakan oleh pihak Kementerian,” katanya. -PAHANGMEDIA