KUANTAN, 21 DISEMBER 2022: Kerajaan Pahang melahirkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di Terengganu akibat Monsun Timur Laut yang sedang melanda negeri-negeri di Pantai Timur ketika ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, atas rasa keprihatinan, Kerajaan Pahang telah menghantar bantuan ke Terengganu berupa barangan keperluan asas bernilai RM150,000.
Beliau berkata, baranga-barangan tersebut meliputi kit bencana, refreshment kit, tikar, selimut tebal, selimut, kain batik, kain pelikat dan lampin pakai buang.

“Bantuan-bantuan ini telah pun digerakkan ke Terengganu pada jam 3 petang hari ini dan diselaraskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang dan Angkatan Pertahanan Awam Negeri Pahang,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berharap, dengan bantuan yang disalurkan ini, ia dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir di Terengganu terutamanya yang sedang mendapatkan perlindungan di pusat-pusat pemindahan sementara.

“Saya juga berharap agar semua mangsa banjir dapat bersabar dengan dugaan yang menimpa ini dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
Sehingga jam 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir di Terengganu yang direkodkan ialah seramai 40,494 orang mangsa melibatkan 11,247 keluarga yang ditempatkan di 297 pusat pemindahan sementara.-PAHANGMEDIA