Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim ketika melakukan tinjauan sistem perparitan di lokasi yang sering berlaku banjir kilat di FELDA Bukit Goh, Kuantan hari ini.

KERAJAAN NEGERI AKAN USAHA SELESAIKAN MASALAH BANJIR KILAT DI FELDA BUKIT GOH

Oleh: Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 20 DISEMBER 2022 : Masalah banjir kilat yang melanda lebih sepuluh buah rumah di Felda Bukit Goh ekoran masalah saliran air mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Tinjauan dilakukan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim yang turun padang untuk melihat dan mendengar sendiri keluhan penduduk terlibat hari ini.

Menurutnya, aduan yang disampaikan penduduk telah diketahui dan tindakan selanjutnya akan diambil bagi mengelak situasi (banjir kilat) terus berulang.

“Menerusi tinjauan tadi, saya lihat ada beberapa perkara perlu diambil perhatian seperti sistem perparitan. Longkang yang ada memang perlu dinaiktaraf dan diperbesar.

“Isu ini memang perlu dikaji semula. Keluasan kawasan tadahan (catchment) di sini perlu dibuat pengiraan semula meliputi faktor keluasan longkang dan pembentung sedia ada.

“Saya berharap rekabentuk sediada perlu dibuat kajian semula sebelum cadangan naiktaraf dilaksanakan,” katanya.

Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim ketika melakukan tinjauan sistem perparitan di lokasi yang sering berlaku banjir kilat di FELDA Bukit Goh, Kuantan hari ini.

Beliau berkata demikiam ketika ditemui media selepas membuat lawatan bersama Pengurus Rancangan Felda Bukit Goh, Encik Raduan Rozali ke dua lokasi yang sering berlaku banjir kilat iaitu di Jalan 2/2 dan Lorong 11, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah peruntukan telah diluluskan untuk menaiktaraf longkang dan kalbot di kawasan terjejas sebelum ini.

“Jumlah itu bagaimanapun tidak mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan masalah perparitan di kawasan terlibat.

“Saya akan bawa kepada pihak Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut dan akan berbincang dengan pihak Felda Wilayah Kuantan berhubung isu ini,” ujar Razali.

Semalam, media melaporkan keluhan beberapa penduduk di Felda Bukit Goh, di sini yang terpaksa berhadapan masalah banjir kilat sehingga tiga kali setahun sejak 20 tahun lalu.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram