Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal ketika mendengar Taklimat Industri Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang oleh Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor semasa kunjungan pertama beliau ke SKMM Pahang hari ini

31 MENARA TELEKOMUNIKASI TELAH SIAP DIBINA DI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 20 DISEMBER 2022 : Sebanyak 31 menara telekomunikasi telah siap dibina di negeri ini melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata ini termasuklah status terkini pengoperasian sebuah menara di Jerantut.

“Berdasarkan kepada laporan terkini sebanyak 31 menara telahpun siap dengan satu menara terkini yang telah mula beroperasi di Kampung Ulu Teh di Jerantut.

“Usaha sedang dipergiatkan lagi untuk menyiapkan lebih banyak menara yang dijangkakan akan siap berperingkat sehingga pertengahan tahun 2023 bagi memastikan manfaat perkhidmatan komunikasi lebih baik dapat dinikmati oleh rakyat Pahang khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendapat Taklimat Industri Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang oleh Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor semasa kunjungan pertama beliau ke SKMM Pahang hari ini.

Taklimat berkenaan juga turut menyentuh beberapa perkara yang merangkumi bidang tugas utama SKMM iaitu kawalselia dan pembangunan industri komunikasi dan multimedia.

Selain daripada itu, SKMM turut memberi tumpuan utama dalam usaha peluasan liputan perkhidmatan selular di seluruh negara melalui JENDELA khususunya pembinaan sebanyak 270 menara di seluruh Pahang bagi manfaat rakyat di negeri ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram