Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
LIPIS, 16 DISEMBER 2022 : Rumah rehat Jelai Inn Boutique Hotel di Sungai Koyan dengan kos keseluruhan bernilai RM1.4 juta telah dapat beroperasi sepenuhnya hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata rumah rehat berkenaan siap sepenuhnya pada Oktober lepas dan diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Daerah Lipis.

“Menyentuh mengenai pembinaan Jelai Inn ini, saya berasa amat bersyukur kerana hasrat kita untuk membina rumah rehat ini telah mendapat kelulusan peruntukan daripada pihak Persekutuan menerusi FELDA yang berjumlah RM1.4 juta.
“Malah, saya juga cukup berbangga kerana Jelai Inn ini dapat disiapkan dalam tempoh 15 bulan di mana ia mula dibina pada bulan Julai tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 11 Oktober tahun ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pihak kontraktor.
“Selain itu, saya juga difahamkan, rumah rehat ini juga menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti tempat untuk penganjuran kursus serta tempat untuk menganjurkan pelbagai aktiviti seperti majlis-majlis keraian dan keramaian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Jelai Inn Boutique Hotel, Sungai Koyan di Sungai Koyan hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan isteri YAB Menteri Besar Pahang, YABhg. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Beliau kemudiannya menunaikan Solat Jumaat dan menghadiri Jamuan Tengah Hari Bersama Penduduk Kuala Serau di Masjid Kampung Kuala Serau.
Beliau berkata pembinaan Jelai Inn ini juga diharap dapat menjana pendapatan kepada penduduk sekitar hasil daripada industri pelancongan.
“Malah, saya juga yakin, dengan terbinanya Jelai Inn ini, industri pelancongan di kawasan ini akan dapat ditingkatkan dan sekaligus mampu
menjana pendapatan kepada penduduk sekitar menerusi aktiviti-aktiviti perniagaan pelbagai jenis produk yang dijalankan.
“Sebenarnya, di kawasan Jelai ini sendiri sama ada secara sedar atau tidak, kita sedang bangunkannya sebagai kawasan pelancongan di mana pelbagai produk pelancongan sebenarnya ada di sini seperti kawasan agro pelancongan di Kuala Medang, kawasan perkampungan Orang Asli serta beberapa kawasan lain yang boleh kita bangunkannya menjadi tempat tumpuan pelancong.
“Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar penduduk di Jelai ini mengambil kesempatan untuk merebut segala peluang untuk meningkatkan ekonomi masing-masing,” katanya. – PAHANGMEDIA