Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan

SETIAP AHLI DEWAN NEGERI PERLU PUNYA JIWA DALAM LAKSANA TUGAS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 14 DISEMBER 2022 : Setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) Pahang perlu mempunyai jiwa dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan berdasarkan portfolio masing-masing.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan berkata ini bagi memastikan semua kerja berjalan dengan lebih lancar.

“Saya akan jalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin dan semua kerja-kerja ini perlukan jiwa dan bagi portfolio saya, telah lama saya menjiwai perkara ini memandangkan saya merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian dan Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Pahang.

“Perancangan saya buat masa ini, bagi pembangunan wanita, ada sedikit pembaharuan yang akan saya lakukan bagi memastikan yang terbaik untuk wanita di negeri ini.

“Dari segi kebajikan pula, setakat ini saya akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan saya akan berjumpa Pengarah JKM dalam masa yang terdekat bagi membincangkan bantuan terutamanya banjir buat masa ini,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan merupakan satu portfolio yang sangat dekat dengan masyarkat.

“Portfolio ini sangat penting untuk Kerajaan Negeri dan rakyat Pahang. Saya akan mendapatkan taklimat dan gambaran perancangan Kerajaan Negeri berkenaan perumahan di negeri ini.

“Bagi Kerajaan Tempatan, kita akan perhalusi kembali di mana apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Tempatan atau Majlis-majlis Perbandaran Daerah, kita cuba permudahkan untuk rakyat.

“Bagi alam sekitar, kita akan menyahut seruan Kerajaan dan peringkat global kerana ia merupakan isu yang sangat diberi perhatian selain teknologi hijau yang lebih kepada tenaga yang diperbaharui, solar, dan sebagainya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram