Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

BERI TUMPUAN KHUSUS MASALAH KESESAKAN, JALAN ROSAK DAN KEMUDAHAN FASILITI KESIHATAN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 14 DISEMBER 2022 : Masalah kerosakan jalan yang kerap disuarakan pengguna di negeri ini menjadi antara perkara yang akan diberi tumpuan khusus oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang.

YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, perancangan awal telah dirangka bagi memastikan kemudahan yang diperlukan dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kita perlu ada penambahbaikan dari segi pengangkutan awam dan juga kesesakan lalu lintas khususnya di bandar Kuantan di mana kesesakan ini memberi masalah kepada pengguna.

“Tumpuan juga akan diberikan kepada struktur dan kualiti jalan yang dibina termasuk syarikat-syarikat yang diberikan konsesi supaya keadaan dan pembinaan jalan-jalan ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik lagi untuk beri kemudahan dan kesejahteraan kepada rakyat di negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Dalam pada itu, situasi bencana yang melanda saban tahun juga menjejaskan jalan-jalan di sekitar negeri termasuk masalah ‘laluan putus’ akibat dinaiki air.

“Sudah tentu kita nak lihat tentang keadaan jalan yang bermasalah contoh dalam musim banjir ini.

“Jalan-jalan yang mudah dan sering dinaiki air ekoran di kawasan tanah berkedudukan rendah perlu ditinggikan arasnya,” katanya.

Dari segi aspek kesihatan pula katanya, beliau akan melihat bagaimana perkhidmatan yang lebih baik dapat diberi kepada rakyat.

“Selepas ini saya akan teliti (isu-isu kesihatan) dengan lebih terperinci bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk menilai keadaan sebenar sebarang situasi dan keperluan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram