Barisan Exco Kerajaan Pahang

SEPULUH EXCO PAHANG TERIMA PORTFOLIO HARI INI

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 14 DISEMBER 2022 : Sepuluh orang Exco Kerajaan Pahang menerima portfolio masing-masing yang diumumkan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Berlaku beberapa perubahan dan pertambahan di dalam portfolio yang diumumkan berbanding penggal sebelum ini.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail memegang portfolio Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air selain Pembangunan Ekonomi, Perladangan dan Komoditi.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

YB Dato Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak bakal memegang portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan manakala YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad akan memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli.

YB Dato Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff akan memegang portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan manakala YB Tuan Ir Razali Kassim akan memegang portfolio Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan.

YB. Dato’ Sri Johari Harun akan memegang portfolio Kerajaan
Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau manakala YB. Dato Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohd Najib pula akan memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi.

YB Dato’ Sabariah Saidan akan memegang portfolio Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga manakala YB Encik Fadzil Mohamad Kamal akan memegang
portfolio Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan
Kerajaan.

Dua orang Exco dari Pakatan Harapan (PH) iaitu YB Encik Sim Chon Siang akan memegang portfolio Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia manakala YB Cik Leong Yu Man akan memegang portfolio Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan.

Dalam pada Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menzahirkan harapan agar kesemua barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dapat mengetepikan sentimen politik dan perbezaan ideologi masing-masing serta bekerjasama sebagai satu pasukan yang mantap bagi memastikan segala agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.

“Laksanakanlah setiap tugas yang diberikan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah agar hasrat untuk menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri maju akan tercapai.

“Selain itu, saya mengharapkan supaya rakyat Pahang juga dapat memberi kepercayaan dan sokongan kepada Kerajaan Negeri yang baru dibentuk ini demi kestabilan dan kemakmuran negeri.

“Ini kerana sudah sampai masanya untuk kita membuka lembaran baharu ke arah politik matang serta meraikan pebezaan antara kita semua dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama agar kita dapat terus hidup dalam suasana yang aman, damai dan harmoni,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram