Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 13 DISEMBER 2022 : Seramai 449 mangsa banjir dari tiga daerah di Pahang iaitu Temerloh, Bera dan Pekan masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah masing-masing.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Pahang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini menurun kepada 449 mangsa berbanding 466 mangsa pada 12.00 tengah malam semalam.
“Bagi Daerah Temerloh, sebuah PPS telah dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan yang menempatkan seramai 346 mangsa daripada 103 keluarga.
“Di Bera pula sebanyak dua PPS dibuka iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Buntar yang menempatkan 26 mangsa daripada tujuh keluarga manakala PPS SK Kerayong pula menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga.
“Manakala bagi Daerah Pekan pula telah membuka sebuah PPS di SK Sinar Mutiara yang menempatkan 68 mangsa daripada 16 keluarga,” menurut kenyataan berkenaan.
Berdasarkan kenyataan itu juga, sebuah sungai yang mengeluarkan isyarat bahaya ialah Sungai Pahang di Bera manakala dua sungai lagi mengeluarkan tanda amaran ialah Sungai Pahang di Maran dan Pekan.
Kenyataan itu juga memaklumkan kesemua daerah di Pahang akan mengalami hujan di kebanyakan tempat di sepanjang hari dengan beberapa daerah mengalami ribut petir di beberapa tempat. – PAHANGMEDIA