Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 DISEMBER 2022 : Daerah Pekan menjadi daerah terbaharu yang membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini yang menempatkan 46 mangsa selain Temerloh dan Bera malam ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Pahang, APM Negeri Pahang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di negeri ini meningkat kepada 444 mangsa melibatkan tiga daerah setakat 8 malam ini.
“Di Temerloh, sebuah PPS iaitu di PPS SMK Sri Semantan dibuka menempatkan 363 mangsa daripada 108 keluarga.
“Di Bera, sebanyak dua PPS di buka iaitu PPS SK Sri Buntar yang menempatkan 26 mangsa daripada tujuh keluarga, dan PPS SK Kerayong yang menempatkan sembilan mangsa dari tiga keluarga.
“Pekan pula telah membuka sebuah PPS di SK Sinar Mutiara yang menempatkan 46 mangsa daripada 10 keluarga,” menurut kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan tersebut juga, paras air sungai utama yang berada pada paras bahaya juga menurun kepada sebuah sungai sahaja iaitu Sungai Triang di Bera yang menunjukkan tren menurun.
Paras air sungai yang berada pada tahap amaran juga telah menurun kepada dua iaitu Sungai Serting di Bera yang mencatatkan bacaan kekal, dan Sungai Jempol, Maran yang menunjukkan bacaan menurun.
Sementara itu, tiga buah sungai menunjukkan peningkatan bacaan setakat ini melibatkan Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh; Sungai Kundang, Maran; dan Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan yang kesemuanya berada pada paras waspada. – PAHANGMEDIA