Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 9 DISEMBER 2022 : Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB Encik Sim Chon Siang memulakan tugas rasmi sebagai Exco Kerajaan Negeri, hari ini.
Beliau tiba di lobi blok B, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang pada pukul 8.25 pagi sebelum mengimbas jari pada alat perakam waktu di bangunan berkenaan tepat pukul 8.30 pagi.
Sementara itu ketika ditemui media, beliau turut menzahirkan rasa teruja selepas bergelar Exco walaupun berdebar menanti cabaran seterusnya dalam menggalas tanggungjawab tersebut.

“Selama sepuluh tahun saya jadi YB asyik tanya soalan kepada Kerajaan Negeri (ketika Sidang Dewan Negeri) tapi sekarang saya kena lah bagi orang tanya soalan pula. Memang rasa pelik sekarang tapi saya harap dapat terima cabaran dengan baik.
“Memang pelik bila perlu bekerjasama (BN-PH) tapi demi rakyat saya yakin kita boleh bercampur dengan baik dan membela nasib rakyat negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai bayangan portfolio yang bersesuaian dengan diri beliau, sudah pasti harapan diletakkan pada tugas yang mampu dipikul dengan baik.
“Kalau saya, saya cenderung kepada (portfolio) Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Jadi saya rasa itu yang paling sesuai untuk saya. Kita belum berbincang.
“Kalau kerajaan Negeri Pahang beri, saya terima lah. Kalau tidak, kita bincang lagi dan tengok macam mana, tengok tugasan yang sesuai untuk saya.
“Jangan bagi saya jaga ayam, kambing, lembu, saya tak tahu. Sama juga kalau jaga kesihatan, kurang pengetahuan berkenaan itu. Harap tugasan yang mempunyai manfaat dan sesuai dengan kepakaran saya,” katanya. – PAHANGMEDIA