Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 7 DISEMBER 2022 : Barisan Nasional (BN) Pahang akan menunaikan janji yang diberikan sepanjang kempen PRU Dewan Negeri (DN) Tioman.
YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi BN Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bagaimanapun berkata, semua perkara akan diperhalusi sebelum dilaksana mahupun ditunaikan.
“Setiap perkara yang dibangkitkan semasa kempen akan diteliti kerana ada beberapa perkara tidak dapat ditunaikan serta merta tetapi ada juga beberapa perkara yang boleh diluluskan segera.
“Semua akan diambil kira dan saya akan cuba sedaya upaya memenuhi keperluan penduduk di DN Tioman ini,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman keputusan PRU15 DN Tioman.
Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Dato’ Sri Johari Hussain di atas kemenangan yang berjaya dicatat hari ini.
“Syabas tahniah kepada YB Dato’ Sri Johari dan saya yakin beliau akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di DN Tioman,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Johari turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi DN Tioman serta jentera parti yang bekerja keras bagi memastikan kemenangan beliau dalam pilihan raya kali ini.
“Dalam masa yang sama juga saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat dan negeri khususnya di bawah seliaan dan pengurusan di bawah MB selaku Pengerusi Barisan Nasional Pahang.
“Kemenangan ini adalah kemenangan bersama dan kerja kuat semua jentera jentera melibatkan jentera pusat, negeri dan bahagian di seluruh negeri Pahang,” katanya.
Beliau berjaya mengekalkan kerusi DN Tioman masuk penggal keempat selepas berjaya menewaskan empat lagi saingannya.
Dato’ Sri Johari Hussain memperoleh 8,080 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim memperoleh 7,507 undi, calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly 784 undi, calon Bebas, Sulaiman Bakar 58 undi dan calon Pejuang, Osman A. Bakar sebanyak 79 undi.
SPR memaklumkan sebanyak 58.39 peratus daripada 28,108 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab itu di 17 pusat mengundi yang dibuka bermula pukul 8 pagi hingga pukul 6 petang tadi. -PAHANGMEDIA