Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
ROMPIN, 06 DISEMBER 2022 : Wakil rakyat yang telah dipilih dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diminta untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira musim.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga YAB Timbalan Perdana Menteri 1, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ini bagi memastikan rakyat menjadi keutamaan terlebih dahulu berbanding perkara lain.
“Serve the rakyat first. Berikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dahulu. Berikan keutamaan kepada rakyat. Kalau ini pegangan semua ADN kita dan ahli-ahli Parlimen kita, berikanlah perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira musim.
“Jangan jadi pemimpin yang bermusim. InsyaAllah ADN dan ahli Parlimen Barisan Nasional yang menang ataupun belum menang pasti akan terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa musim sepanjang lima tahun mendatang dan lima tahun berikutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Himpunan Rakyat YAB Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Kuala Rompin, di sini.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi BN Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi BN yang juga Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN yang juga Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Hadir sama, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau berkata beliau tidak mahu perbezaan pendapat yang membawa kepada perpecahan berlaku lagi selepas ini.
“Rapatkan barisan, rapatkan saf kepimpinan, wujudkan penyatuan pemikiran di kalangan kita, wujudkan penyatuan hati di kalangan kita, insyaAllah kita bergerak aman sesama kita agar UMNO dan Barisan Nasional terus relevan bukan sahaja dalam Kerajaan Perpaduan ini tapi juga di masa-masa akan datang.
“Yang kita perlu janji adalah berkhidmat kepada rakyat bersama-sama rakan-rakan kita yang lain dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya. – PAHANGMEDIA