Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 5 DISEMBER 2022 : Gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di negeri ini bukan hanya bersifat retorik namun mempunyai misi yang besar dalam menjamin kesejahteraan rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, gabungan ini adalah suatu perkara yang realistik dan bukan hanya lakonan berkepentingan seperti tohmahan yang bersebaran.
“Alhamdulillah syukur, inilah yang dikatakangabungan dan semangat setiakawan yang menunjukkan komitmen antara BN dan PH demi kestabilan negeri dan rakyat Pahang.
“Perjumpaan ini menzahirkan bahawa kita bersama.. ada yang tohmah kita saling tak menyokong. Sebagai Pengerusi BN Pahang saya ucap terima kasih kepada calon PH DN Tioman, Saudara Fazli yang bagi laluan untuk Dato’ Sri Mohd Johari Hussain (calon BN).
“InsyaAllah, dengan adanya gabungan (BN-PH) ini bagi fokus saya menumpukan pembangunan rakyat tanpa sebarang gangu gugat,” katanya.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Rompin, Dato’ Sri Hasan Ariffin, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Negeri (DN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain serta Pengerusi Pakatan Harapan Rompin yang juga calon PH bagi DN Rompin, Encik Mohd Fazli Mohd Ramly.
Sementara itu beliau berkata, jentera kempen BN telah mendekati seramai mungkin masyarakat setempat sehingga dua hari terakhir berkempen.
“Setakat ini rakyat keseluruhan kawasan DN Tioman telah kita santuni.
Misi BN ialah terus menyelami masalah dan keperluan rakyat kerana rakyat adalah aset kepada kepimpinan kerajaan.
“Selama ini pun kita berjaya menyelesaikan masalah-masalah berkaitan kesihatan, pendidikan anak-anak dan perniagaan yang banyak dibantu melalui peruntukan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berharap agar masyarakat di DN Tioman terus memberi sokongan kepada beliau dan Kerajaan Negeri di bawah gabungan kepimpinan BN-PH. -PAHANGMEDIA