Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 5 DISEMBER 2022 : Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM500,000 bagi menaiktaraf surau Felda Selendang 2, di sini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia berikutan kesukaran yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan dan sekitar untuk menunaikan solat berjemaah.
“Saya difahamkan penduduk di sini menghadapi kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat akibat surau yang terletak di kampung ini kecil serta tidak mampu menampung jumlah jemaah yang turut melibatkan penduduk dari Felda Selendang 3, 4 dan 5.
“Dengan itu, sukacita saya umumkan bahawa sejumlah RM500,000 diperuntukkan bagi menaiktaraf surau di kampung ini di mana Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 manakala bakinya iaitu RM300,000 lagi ditanggung oleh Kerajaan Negeri.
“Saya berharap dengan peruntukan yang disediakan ini ia akan memberikan keselesaan kepada jemaah di kampung ini dan di kawasan sekitar untuk menunaikan ibadat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik tanah kepada 132 orang peneroka FELDA Selendang 2 meliputi 132 lot tapak rumah dan 208 lot pertanian iaitu kelapa sawit.
Sementara itu beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menunaikan janji dan telah pun menyelesaikan semua perkara yang disebut bagi kesejahteraan rakyat.
“Di DN Tioman pelbagai usaha yang telah dilaksanakan antaranya hospital 60 katil bertemakan Taman Pelancongan selain kewujudan kilang Kenaf yang pertama di Malaysia.
“Kita juga mewujudkan Pusat Hemodialisis yang dilengkapi lebih 20 buah mesin di Pantai Hiburan dan Hospital Rompin selain menaiktaraf klinik serta wad bersalin dengan kerjasama MUIP di Pulau Tioman,” katanya.
Selain itu katanya pembinaan Tioman Harbour dan Bandar Maritim di Teluk Gading, pembangunan Jelapang Padi Negara di Rompin serta naiktaraf Taman Negeri Endau-Rompin bernilai RM15 juta ringgit. -PAHANGMEDIA