Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 5 DISEMBER 2022 : Kerajaan Pahang sedang mengkaji untuk menyalurkan bantuan Dana Belia kepada kumpulan sasar yang memerlukan sebagai modal permulaan untuk memulakan perniagaan atau sebarang aktiviti yang ingin dijalankan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cetusan idea bagi memperkenalkan dana khas itu adalah selepas mendengar keluhan golongan muda yang berharap Kerajaan Negeri dapat membantu mereka.
“Dana belia ini saya dapati ramai daripada belia-belia yang masih memerlukan bantuan, sokongan kerajaan untuk permulaan sesuatu perniagaan sebagai contoh.
“Oleh itu, saya akan menubuhkan satu dana dengan peruntukan tertentu dan kita akan bagi kepada mereka yang memerlukan (kumpulan sasar).
“Ini adalah keluhan sebahagian anak-anak muda yang mana mereka minta kerajaan negeri dapat membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka Kampung Sepayang, hari ini
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Dato’ Suhaimi Mohd Yunus, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, barisan Exco Negeri Pahang serta calon BN bagi DN Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.
Mengulas lanjut mengenai dana yang dijangka dimulakan pada tahun hadapan itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, perbincangan berkaitan jumlah peruntukan bagi dana terbabit akan dilakukan terlebih dahulu dengan semua pihak berkepentingan.
“Sudah tentu kena buat perbincangan dulu, perbincangan dengan Pegawai Kewangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, rakan-rakan Exco akan dilakukan terlebih dahulu sebab ini duit kerajaan,” katanya. – PAHANGMEDIA