Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
ROMPIN, 4 DISEMBER 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM500,000 subsidi bagi tambang feri kepada setiap penduduk Pulau Tioman dengan kadar pengurangan kepada RM20 bagi laluan sehala ke Jeti Tanjung Gemok.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut merupakan jumlah yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri selama setahun bermula Januari 2023 yang akan dapat memberi manfaat kepada 3,600 orang.

“Setelah berbincang dengan Pegawai Kewangan Negeri kadar pengurangan tambang feri ini hanya melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM500,000 sahaja jadi saya terus mengumumkan harga tambang bot diturunkan daripada RM50 kepada RM20,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Santai Petang bersama penduduk Kampung Jawa di Rompin, petang tadi.
Hadir sama ialah Exco Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak dan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan pembinaan klinik dengan kemudahan wad bersalin dan pergigian bagi memudahkan penduduk di Pulau Tioman untuk mendapatkan rawatan dengan mudah. – PAHANGMEDIA