Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 2 DISEMBER 2022 : Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Kerajaan Pahang yang baharu dilantik berazam membawa suara rakyat ke peringkat tertinggi Kerajaan Negeri dan bersedia menjalin kerjasama antara dua parti di dalam satu kerajaan perpaduan
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Encik Fadzli Mohamed Kamal berkata, meski pun Kerajaan Negeri kali ini merupakan campuran daripada dua parti iaitu BN dan PH, namun beliau yakin bahawa dapat memberikan kerjasama terbaik sekiranya setiap Exco Kerajaan Negeri membawa misi dan visi yang sama demi membantu rakyat.
“Ia adalah sesuatu yang baru dan pengalaman yang berbeza tetapi saya percaya kerajaan negeri ini dibentuk atas kepentingan rakyat dan kemakmuran negeri.
“Jadi, kalau matlamat dan misi kita sama, kita boleh bersama-sama memimpin negeri ini untuk berkhidmat kepada rakyat dan yang paling penting matlamat kita sama untuk manfaat rakyat dan negeri, InsyaAllah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco di Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Sementara itu, dua Exco Kerajaan Pahang daripada PH yang pertama kali dilantik iaitu ADN Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang dan ADN Triang, YB. Cik Leong Yu Man turut bertekad untuk meneruskan usaha yang dilakukan sebelum dalam membawa suara rakyat untuk mendapat pembelaan di peringkat tertinggi Kerajaan Negeri.
Menurut YB. Encik Sim Chon Siang, beliau bersedia menjalinkan kerjasama bersama BN meskipun terasa janggal buat pertama kali dilantik sebagai Exco Pahang selepas dua penggal membawa suara rakyat di kawasan Dewan Negeri (DN) Teruntum sebagai pembangkang.
“Rasa macam pelik sikit sebab dulu kita (PH) selalu hentam dia (Kerajaan Negeri), sekarang macam adik-beradik tetapi keutamaan tetap kepada rakyat tidak kiralah dahulu kita hentam macam mana pun sekarang matlamat utama adalah untuk keuntungan untuk rakyat,” katanya.

Bagi YB. Cik Leong Yu Man pula, beliau menyifatkan pelantikan dua calon PH sebagai Exco Kerajaan Pahang merupakan suatu lembaran baharu bagi pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Saya percaya ini juga permintaan daripada rakyat sebab selepas hari pengundian kita terima permintaan daripada rakyat supaya kita gabung dengan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan Kerajaan Negeri Pahang dan saya percaya ini juga merupakan senario yang diinginkan oleh rakyat Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA