Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 2 DISEMBER 2022 : Golongan belia di Dewan Negeri (DN) Tioman diharap tidak memandang mudah keperluan untuk keluar mengundi pada 7 Disember ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, undi golongan belia menjadi penentu bagi mengukuhkan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang jika kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
“Kita dah belajar daripada PRU15, tiada parti yang boleh memberi jaminan boleh menang (bentuk kerajaan), kita kena kerja kuat. Kebanyakan daripada mereka ini terdiri daripada pengundi tidak berparti dan kumpulan pengundi muda, justeru kesedaran perlu dipertingkatkan supaya mereka dapat menyokong BN.
“Semangat dah terbaik, harap BN boleh kekalkan kemenangan. Belia jangan tak kisah pasal undi kerana parti yang kuat dapat menubuhkan kerajaan yang kuat sekaligus dapat mensejahterakan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Santai Anak Muda Mukim Pontian di Jeti D’Kuala Pontian, di sini semalam.
Dalam pada itu beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada PH kerana memberi laluan kepada BN sepanjang kempen dan memberi sokongan
“Kita ikhlas, PH pun ikhlas… Terima kasih sebab terima (kerjasama) tanpa sebarang syarat, jadi takkan lah kita tak boleh pertimbang beberapa perkara.
“Kita sama-sama kerja kuat untuk memastikan Kerajaan Negeri Pahang yang terbentuk kini lebih kukuh dan mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya. – PAHANGMEDIA