Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 28 NOVEMBER 2022 : Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang dilantik sebagai Menteri Besar Pahang hari ini berkata senarai Exco Kerajaan Negeri bagi membantu pentadbirannya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, bagaimanapun pelantikan barisan Exco Kerajaan Negeri masih belum diputuskan lagi setakat ini.
“Masih dalam peringkat perbincangan (pelantikan Exco Kerajaan Negeri), belum ada keputusan muktamad lagi. Kita cuba (umumkan pelantikan exco) dalam masa yang terdekat. Federal pun tak umum lagi kabinet dia, dah bentuk (Kerajaan) lama dah.
“Akan ada komposisi antara BN dan PH (untuk kerusi Exco Kerajaan Negeri,”katanya ketika sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan, hari ini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad.
Mengulas mengenai adakah Barisan Nasional (BN) akan meminta Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Dewan Negeri (DN) Tioman, beliau berkata ia akan dibincangkan.
“Sebab kita dah dalam satu blok, jadi kita akan bincang dan kalau mereka bagi laluan lagi bagus.
“Ia akan beri kesan positif kepada Barisan Nasional sebab dalam kerajaan yang ada hari ini ada Pakatan Harapan. Sebelum ini Pakatan Harapan bertanding, Barisan Nasional bertanding.
“Kalau dah kita ada kesepakatan dan ada perbincangan mungkin lagi mudah untuk Barisan Nasional,” katanya. -PAHANGMEDIA