YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan, hari ini.

“PERTIMBANG TIGA PERKARA UTAMA BENTUK KERAJAAN NEGERI PAHANG” – YAB MENTERI BESAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

PEKAN, 28 NOVEMBER 2022 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang telah mempertimbangkan tiga perkara utama bagi memastikan Kerajaan Negeri dapat dibentuk segera.

Beliau berkata, ini termasuklah dengan melakukan pelbagai rundingan secara bersama melibatkan gabungan blok politik yang bertanding dan mencapai kata sepakat untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Pertama, BN Pahang berpendirian bahawa kerjasama antara blok merupakan satu pendekatan baharu yang mesti menjadi pilihan sekali gus membuktikan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana blok sama ada PH (Pakatan Harapan) atau pun PN (Perikatan Nasional), demi kebaikan rakyat.

“Kedua, BN Pahang mendapati bahawa sebarang pilihan kerjasama mestilah dilakukan dengan mengambil kira keupayaan gabungan untuk membawa kestabilan kepada Kerajaan Negeri dan kesejahteraan rakyat. Pada masa yang sama, kombinasi Kerajaan Negeri haruslah mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan Negeri Pahang.

“Ketiga, BN Pahang percaya bahawa pembentukan Kerajaan Negeri yang baharu ini perlu turut selari dengan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di peringkat Persekutuan. Ini bagi memastikan pentadbiran serta segala perancangan yang dibuat demi pembangunan Negeri Pahang dapat diteruskan dan berjalan dengan lancar.

“Berdasarkan pertimbangan dan senario yang telah diperhalusi dengan penuh berlapang dada ini, akhirnya BN dan PH telah mencapai kata sepakat untuk membentuk Kerajaan Negeri bersama-sama,” katanya ketika sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan, hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad.

Menurut beliau lagi, beliau dan seluruh pasukan turut akur dan sedar bahawa pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Pahang merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar.

“Sesungguhnya, saya bersama seluruh pasukan Kerajaan Negeri akur dan sedar betapa pelantikan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar dan mesti dilunaskan dengan idea, kudrat dan ikhtiar terbaik.

“Saya juga berharap bahawa blok Perikatan Nasional akan menjadi pembangkang yang sentiasa tegas, objektif dan mampu menjalankan fungsi semak dan imbang yang selayaknya.

“Akhir sekali, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Pahang yang bukan sahaja telah mengikuti perkembangan pembentukan Kerajaan Negeri dengan sabar dan tenang. Malah, menerima keputusan dan hasilnya dengan berlapang dada dan matang, tanpa membiarkan emosi dan ketaasuban mencetuskan suasana yang tidak baik,” katanya.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata pasukan Kerajaan Negeri yang baru dibentuk ini akan sebaik mungkin memastikan Belanjawan 2023 yang telah diluluskan di Dewan Negeri Pahang pada penggal lalu dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

“Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas limpah perkenan melantik patik sebagai Menteri Besar Pahang bagi Penggal Ke-15 pada hari ini. InsyaAllah, patik akan menggalas amanah, tanggungjawab serta kepercayaan besar ini dengan sepenuh jiwa raga dan hati nurani patik demi kepentingan rakyat dan negeri Pahang Darul Makmur. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram