Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 28 NOVEMBER 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan kerajaan yang baharu dibentuk di negeri ini agar mengutamakan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Baginda juga meminta agar semua pihak mengetepikan ideologi dan sentimen politik dalam memastikan wakil rakyat yang duduk di kerusi kerajaan membawa perubahan dan terus maju ke hadapan.

“Kini bukan lagi masa untuk berpolitik, cukup-cukuplah… pilihan raya telah tamat dan Kerajaan Negeri telah dibentuk. Rakyat tidak mahu lagi lihat tuan-tuan terus berpolitik, mencari salah di sana sini.
“Sekarang masa untuk bekerja, saya mahu Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sentiasa menjalinkan kerjasama yang erat demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat jelata.
“Bagi wakil rakyat yang berada di sebelah pembangkang diharap menjadi check and balance dengan profesional dan matang. Mana dasar yang kurang baik tegur dan berilah idea untuk ditambahbaik,” titah baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang bertitah demikian Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar hari ini.
Baginda juga berharap agar setiap wakil rakyat yang dipilih dapat membetulkan niat dan bukan untuk mencipta kekayaan diri dan mendapat penghormatan serta mengkhianati amanah yang diberi.
“Saya mahu wakil rakyat rajin bekerja, turun ke kawasan dan kampung sentiasa, lihat apa yang perlu dijaga. Saya tidak mahu segala proses birokrasi bertimbun-timbun sehingga rakyat saya sukar menemui wakil rakyat mereka.
“Sekiranya terdapat isu yang tidak dapat diselesaikan, boleh disembahkan kepada saya. Saya sendiri akan buat spot-check dan turun ke lapangan,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan agar YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dapat terus memajukan dan melestarikan negeri Pahang.
“Tingkatkan hasil ekonomi, tarik lebih ramai pelabur asing, wujudkan banyak peluang pekerjaan serta jaga kebajikan rakyat,” titah baginda. – PAHANGMEDIA