Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelai, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai YAB Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan

DATO’ SRI HAJI WAN ROSDY KEMBALI GALAS JAWATAN MENTERI BESAR PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 28 NOVEMBER 2022 : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai YAB Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini, sebentar tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelai yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands berusia 64 tahun itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang ke-15 di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang.

Beliau yang juga merupakan bekas Menteri Besar Pahang dalam penggal terdahulu hadir ke istana dengan memakai baju Melayu hitam dan turut ditemani isterinya, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak.

Turut hadir Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Hj Osman, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin serta YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy kembali dilantik kali kedua selepas menerima sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) susulan perbincangan yang diadakan bagi membentuk Kerajaan Negeri.

Pembentukan kerjasama menerusi gabungan dua parti itu memperoleh sokongan 24 Ahli Dewan Negeri (ADN) daripada keseluruhan 42 kerusi, sekali gus melepasi majoriti mudah 22 kerusi untuk menubuhkan Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram