Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 24 NOVEMBER 2022 : Penyandang yang juga calon bagi Dewan Negeri (DN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain tidak gentar menghadapi empat saingannya walaupun dalam keadaan politik yang tidak stabil kini.
Menurutnya, pengalaman menyandang selama hampir tiga penggal menjadi kekuatan untuk beliau meneruskan usaha yang dilakukan selama ini dan akan ditambahbaik pada masa akan datang.
“Saya berharap agar pengundi di DN Tioman dapat membuat pilihan yang tepat memberi peluang kepada kesinambungan kecemerlangan pentadbiran negeri di bawah BN dapat diteruskan selepas ini.

“Saya sendiri akan melipatgandakan lagi usaha dengan mengerakkan jentera-jentera untuk terus memastikan kemenangan menjadi milik BN Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 bagi DN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Sementara itu calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim yang ditemui turut berharap mandat daripada rakyat Rompin sekaligus memberi peluang untuk membawa dan idea baru.
“Saya akan kerap turun ke lapangan seperti yang saya lakukan sebelum ini sebagai Ketua Muslimat PAS Cawangan Pianggu, InsyaAllah saya yakin orang yang mengenali saya akan mengundi saya.
“Saya juga berharap agar pengundi luar pulang mengundi sekaligus membantu kemenangan Perikatan Nasional (PN) di DN Tioman ini,” katanya.
Proses penamaan calon bagi DN Tioman hari ini menyaksikan pertembungan lima penjuru di kerusi DN Tioman yang sebelum ini disandang oleh calon BN, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain selama tiga penggal.
Beliau dicabar calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Ketua Muslimat PAS Cawangan Pianggu, Nor Idayu Hashim, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang) dan Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH). – PAHANGMEDIA