Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
JERANTUT, 11 NOVEMBER 2022 : Pelancaran Rumah Pahang di Felda Sungai Retang di sini memberi harapan baru kepada mereka yang terlibat untuk memiliki rumah sendiri.

Bagi Encik Saiful Bahari Mohamed, 42, inisiatif Kerajaan Pahang ini sedikit sebanyak menggembirakan mereka kerana telah lama menunggu peluang untuk memiliki rumah.
“Ini adalah satu perkara yang bagus kerana rumah ini telah lama ditunggu-tunggu oleh generasi kedua FELDA Sungai Retang ini.
“Kami juga berharap agar syarat-syarat pemilikan rumah juga lebih mudah sekaligus merealisasikan impian kami untuk membina keluarga di rumah sendiri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi generasi kedua FELDA Sungai Retang, Puan Farah Izzah Azwar, 35, turut berkongsi rasa gembira kerana menerima peluang yang sama pada hari ini.
“Saya bersama suami dan seorang anak tinggal di rumah arwah mak. Memang menjadi hasrat kalau ada rezeki nak hidup bersama di rumah sendiri.
“Saya ada tujuh orang adik beradik, mana yang tak ada rumah lagi turut sama menumpang tinggal di rumah mak,” katanya.

Seorang lagi generasi kedua yang ditemui, Cik Siti Faridah Hashim, 45, berkata, ramai antara generasi kedua menumpang di rumah ibu bapa sendiri, mentua atau pun menyewa.
“Saya juga gembira dengan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri ini, apatah lagi kami difahamkan sebelum ini ia agak lama terbelangkai.
“Terima kasih MB Pahang kerana ambil berat dan peduli dengan keperluan rumah yang dinanti generasi kedua Felda Sungai Retang di sini,” katanya. – PAHANGMEDIA