Oleh : Shahrinnahar Latib
KUANTAN, 3 NOVEMBER 2022 : Tiada apa yang mampu diungkapkan oleh Muhammad Adli Azahar tetapi hanya ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang atas keprihatinan dan sumbangan kewangan bagi rawatan kanser tulang atau Ostesarcoma yang dihidapinya.
Muhammad Adli yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat minyak dan gas di Gebeng amat mengharapkan supaya kanser tulang pada bahu kanannya itu sembuh.
“Terima kasih kepada Menteri Besar kerana bagi sumbangan kepada saya bagi rawatan kanser ini, saya berharap tangan saya akan pulih seperti biasa. Saya ucapkan terima kasih sangat-sangat.
“Saya kini terpaksa berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan kimoterapi. Selepas empat kali kimoterapi baru akan buat imbasan MRI sebelum pembedahan,” katanya di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM40,000 yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Muhammad Adli yang baru mendirikan rumah tangga awal tahun ini terpaksa berhenti kerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat minyak dan gas selepas disahkan menderita kanser tulang pada bahu kanannya.
Beliau amat terkejut apabila sakit bahu yang disangka hanya sekadar ‘frozen shoulder’ itu rupanya kanser tulang atau Ostesarcoma selepas menjalani pemeriksaan di hospital.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM40,000 bagi kos rawatan kepada Muhammad Adli Azahar yang menghidap kanser tulang bagi meringankan bebannya dan keluarga.
“Sesungguhnya, saya amat terkejut dan berasa pilu mendengar cerita Muhammad Adli, yang dalam masa beberapa bulan sahaja, bengkak pada bahunya membesar dengan agak cepat dan hampir sama saiz bola sepak.
“Saya berharap agar sumbangan itu sedikit sebanyak membantu kos rawatan pembedahan untuk membuang ketumbuhan selain menggantikan tulang bahu dengan besi.
“Mari kita sama-sama berdoa beliau kembali pulih seperti sediakala,” katanya. – PAHANGMEDIA