Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
JERANTUT, 01 NOVEMBER 2022 : Pahang berada pada kedudukan tempat ketiga terbaik di peringkat kebangsaan dalam bidang pendidikan hasil usaha para pendidik di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh para pendidik bagi menyampaikan ilmu terutamanya dalam tempoh COVID-19.
“Sesungguhnya, setiap suatu cabaran yang ditakdirkan oleh Allah SWT itu tentunya mengandungi hikmah dan pengajaran yang tertentu. Sedar atau tidak, sudah hampir tiga tahun negara kita berperang dengan pandemik Covid-19. Dalam musim pandemik itu, pengurusan pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara norma baharu
“Ketika itu, para guru kekal komited dan cekal dalam menjayakan PDPR iaitu Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah dengan pelbagai kaedah supaya para pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran. Terima kasih diucapkan kepada semua guru atas kesabaran, keikhlasan dan ketabahan dalam mendidik anak bangsa.

“Berkat kerjasama, penat lelah dan kegigihan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), warga pendidik dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta PIBKS (Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta), hasilnya, momentum kecemerlangan dalam STPM bagi Negeri Pahang terus dapat dikekalkan, malah kita berada pada Top 3 kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan STPM 2021 dan Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Pahang di Dewan Besar ADTEC Jerantut di sini.
Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah; dan Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada dua orang pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang menerima anugerah dan tercalon sebagai penerima anugerah di peringkat kebangsaan.
“Kerajaan Negeri Pahang menzahirkan rasa bangga apabila dimaklumkan bahawa Anugerah Murid Orang Asli Terbaik Kebangsaan datangnya dari negeri Pahang iaitu dari SMK Sulaiman, Bentong. Pelajar berkenaan, Nora Adila a/p Pahut telah memperoleh skor PNGK 3.84 iaitu 2A dan 2A-.
“Lebih membanggakan, apabila seorang lagi pelajar negeri Pahang iaitu Intan Ayuni binti Abdul Rahim dari SMK Clifford, Lipis telah terpilih sebagai calon Terbaik Kebangsaan Kategori B40. Intan Ayuni berjaya memperoleh PNGK 4.0 dan keseluruhan 5 mata pelajarannya ialah A. Tahniah kepada kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian calon peperiksaan STPM 2021 di sekolah negeri Pahang menunjukkan prestasi yang membanggakan bagi aspek kuantiti dan kualiti.
“Pada tahun 2021, seramai 2,072 orang calon telah menduduki peperiksaan STPM di Negeri Pahang. Daripada jumlah tersebut, seramai 2,054 orang calon atau 99.13 peratus telah mendapat kelulusan penuh iaitu mendapat sekurang-kurangnya 1 mata pelajaran lulus penuh.
“Keputusan cemerlang ini diharapkan akan menjadi rangsangan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM bagi menjadikan belajar di tingkatan 6 sebagai alternatif utama laluan mereka untuk meneruskan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA),” katanya. -PAHANGMEDIA