YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hadir merasmikan Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Keluarga Malaysia Felda Sungai Koyan 1 di PEDi Keluarga Malaysia Felda Sungai Koyan 1 di Lipis.

PEDI BANTU JANA EKONOMI DIGITAL KALANGAN USAHAWAN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS, 30 OKTOBER 2022 : Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang diwujudkan oleh Kerajaan Pahang dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mampu menjana ekonomi khususnya menerusi kaedah digital di kalangan usahawan sama ada di bandar mahu pun luar bandar.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perlaksanaan PEDi adalah pada waktu yang tepat selepas seluruh negara berhadapan situasi getir selepas berdepan COVID-19 beberapa tahun lalu.

Beliau turut menyifatkan perlaksanaan keusahawanan menggunakan kaedah digital adalah sangat bersesuaian dengan perkembangan semasa sekaligus dapat mempertingkatkan sumber pendapatan usahawan tempatan.

“Memang sesuai sekali dengan peredaran zaman, perubahan zaman, tadi saya tengok taklimat dibentangkan ada seorang usahawan tu, sebelum ni dia dapat RM50 selepas dia membuat melalui PEDi ini, pendapatan melebihi RM1,000 dan kita tidak ada pilihan dengan peredaran zaman, perubahan zaman, dan kalau sekiranya dibuat melalui Shopee, kita boleh menjimatkan kos, mengurangkan kos dan ini merupakan usaha yang sangat baik.

“Cuma sekarang ini kita perlu mempertingkatkan lagi dan kena beri kesedaran kepada masyarakat supaya lebih ramai celik komputer atau pun digital ini, beri kesedaran kepada mereka,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hadir merasmikan Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Keluarga Malaysia Felda Sungai Koyan 1 di PEDi Keluarga Malaysia Felda Sungai Koyan 1 di Lipis.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Keluarga Malaysia Felda Sungai Koyan 1 di PEDi Keluarga Malaysia Felda Sungai Koyan 1 di sini hari ini.

Pada majlis sama, turut disampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang usahawan terbaik di kawasan Jelai, Lipis.

Sebanyak 111 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh Pahang dalam usaha memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir dan terlibat sama dalam dunia digital.

PEDi merupakan kemudahan bagi menyediakan capaian internet secara kolektif selain menawarkan pelbagai kursus dan latihan berasaskan ICT, keusahawanan, multimedia dan sebagainya untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai masyarakat luar bandar dalam aktiviti ekonomi digital.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, perlaksanaan PEDi ini juga disifatkan sangat praktikal dalam menjimatkan kos perlaksanaan sesebuah perusahaan dan keusahawanan sekaligus dapat meningkatkan jumlah pendapatan para usahawan sama ada di kawasan luar bandar, pinggir bandar mahu pun pedalaman. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram