YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pelancaran Pelepasan Misi Penghantaran Bekalan Keperluan Bencana Monsun Timur Laut 2022/2023 Ke Pangkalan Hadapan Bagi Daerah Lipis di Dataran Pekan Sehari Kuala Medang.

PETUGAS PRU15 SIAP SIAGA GALAS TUGAS KETIKA BENCANA, BANJIR

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS, 30 OKTOBER 2022 : Petugas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah bersiap siaga menggalas tugas sekiranya kemungkinan berhadapan bencana atau banjir ekoran Monsun Timur Laut yang melanda saban tahun di Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua petugas terlibat PRU15 telah dimaklumkan supaya sentiasa bersiap sedia dalam apa sahaja keadaan sama ada berlaku banjir atau pun tidak.

“Tetapi harapan saya supaya mudah-mudahan ianya tidak berlakulah, InsyaaAllah, sebab kadang-kadang kita menjangkakan banjir, tetapi tidak berlaku banjir dan kadang-kadang kita tidak menjangkakan banjir tetapi banjir, jadi ini semua kuasa Allah swt belaka, jadi kita cuma berikhtiar dan berdoa supaya banjir tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelepasan Misi Penghantaran Bekalan Keperluan Bencana Monsun Timur Laut 2022/2023 Ke Pangkalan Hadapan Bagi Daerah Lipis di Dataran Pekan Sehari Kuala Medang di sini hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), YH. Dato’ Zulkhairi Zainol Abidin.

Program ‘flag off’ tersebut merupakan simbolik kepada siri misi penghantaran keperluan bekalan bencana kesemua 156 Pangkalan Hadapan di seluruh Pahang di mana sebanyak 15 pangkalan hadapan yang terdapat di daerah Lipis melibatkan penggunaan dewan terbuka, balairaya, masjid dan sekolah.

Bekalan keperluan yang disediakan meliputi sembilan item iaitu beras, gula, garam, minyak masak, biskut, kopi, sardin, teh dan kari ayam yang dipastikan berkualiti, selamat dan bersih serta disimpan di Pangkalan Hadapan yang telah disanitasi dan telah melalui proses ‘pest control’.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Alhamdulillah saya dapati persediaannya cukup baik seperti biasa, dan saya rasa lebih baik daripada sebelum ini dan di samping itu juga kita telah pun mengambil tindakan untuk mengenalpasti apakah punca yang mana boleh membantu meminimakan masalah banjir ini,” katanya.

Justeru, pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan bagi meminimakan masalah dan kesan banjir serta bencana alam membabitkan penyediaan fasiliti seperti pembelian bot amfibia, pembinaan Pusat Pemindahan Banjir Kekal, pembinaan landasan pendaratan helikopter, pembelian instrumen sistem amaran awal banjir, serta pembelian bot menyelamat yang ditempatkan di Pejabat Penghulu selain mengadakan kursus dan penerangan kepada mereka yang terlibat di kawasan banjir.

Menerusi Belanjawan 2023, Kerajaan Negeri telah menyusun pelbagai langkah dan persediaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut antaranya adalah memperkenalkan Dasar Pengurusan Bencana Negeri Pahang dan Disaster Data Bank Negeri Pahang bertujuan menyokong aspek pembuatan keputusan yang pantas di peringkat daerah dan negeri dengan peruntukan RM500,000.

Kerajaan juga mengadakan Program Pasca Banjir dengan peruntukan RM47 juta yang akan dilaksanakan pada tahun 2022 sehingga 2023. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram