Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 28 OKTOBER 2022 : “Alhamdulillah ada tempat untuk berteduh selepas ini,” luah Puan Zainuma Abu Bakar salah seorang penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah.
Puan Zainuma, 34, turut melahirkan penghargaan kepada pihak Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Emeriah Arab Bersatu (UAE) diatas pemberian rumah ini.
“Terima kasih banyak-banyak bagi saya bantuan tempat (tinggal) elak daripada banjir. Tak terkata perasaan bila dapat tahu dapat rumah ini.
“Sebelum ini dah lebih 10 kali kena banjir, memang barang semua habis, saya sempat selamatkan dokumen penting dan keluarga sahaja.
“Buat masa ini saya masih tinggal di rumah yang kena banjir dan saya dah kemas semua barang alih ke tempat tinggi kalau banjir lagi,” katanya yang tinggal di PPRT Desa Al-Ayubi.

Menurut Encik Zainal Lela, 55, dia berasa gembira dan agak terkejut apabila mendapat tahu menerima rumah ini.
“Rasa gembira, rasa terkejut juga sebab kita dah lama duduk di rumah PPRT itu. Bila tahu dapat rumah baru ini, rasa Alhamdulillah, rasa bahagia.
“Sebelum ini tiap-tiap tahun bila banjir mesti pindah. Harap dah dapat rumah baru ni Alhamdulillah tak payah pindah dah,” katanya.

Sementara itu, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata , majlis pada hari ini sangat besar maknanya kepada rakyat jelata, terutamanya bagi mereka yang menghadapi kemusnahan harta benda dan kediaman ekoran bencana banjir.
“Alhamdulillah, berkat hubungan akrab Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku dengan Kerajaan UAE khususnya Presiden Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, telah membenihkan nikmat kegembiraan dan kesejahteraan yang bukan kepalang kepada hamba rakyat.
“Beruntunglah Patik sekalian rakyat Pahang yang menerima limpahan rahmat daripada keakraban hubungan ini, sehingga merealisasikan sumbangan rumah kediaman yang begitu cantik dan selesa, serta dilengkapi pula kemudahan perabot yang cukup sempurna.
“Malah, hasil hubungan akrab dan istimewa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku dengan Presiden Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan ini juga, maka rakyat Pahang terus menerima manfaat melimpah ruah, bila mana Kerajaan UAE bermurah hati menyalurkan peruntukan berjumlah RM42 juta setakat ini, bagi pembangunan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah, yang dianugerahkan kepada golongan miskin di seluruh negeri Pahang,” katanya.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mencemar duli ke Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Negeri Pahang Sumbangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emeriah Arab Bersatu (UAE) di Kampung Temai Hulu di sini.
Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Duta UAE ke Malaysia, YBhg. Encik Khalid Ghanim Alghaith; Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emeriah Arab Bersatu (UAE), YBhg. Dr Hamdan Musallam Al Mazrouei; dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Sebanyak RM12.175 juta diperuntukkan oleh Kerajaan UAE yang dibiayai oleh Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE bagi membina 123 buah rumah melibatkan tujuh daerah di negeri ini kepada mangsa terjejas banjir. -PAHANGMEDIA