Oleh : Mahathir Ali
KUANTAN, 23 OKTOBER 2022 : Beberapa lokasi infrastruktur yang tenggelam ketika musim banjir lalu telah berjaya diperkasakan dengan meninggikan lagi platlform peralatan elektronik di menara-menara terlibat.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ini bagi mengurangkan impak pada gangguan sistem komunikasi sekiranya lokasi tersebut ditenggelami air sekali lagi kerana bekalan TNB masih selamat dan dapat terus dibekalkan.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, kesemua 18 lokasi yang tenggelam pada banjir lepas telahpun diperkasakan. Antaranya di Kg Teluk Sabak, Bandar Bentong 2, Benus Jaya, Bentong Industri, Kg Paya Besar, Kemasuk, Triang, SK Nadak, SK Paya Luas, Kg Bukit Rangin 2, Kg Bukit Rangin, Jalan Temerloh – Kemayan, Bukit Dinding dan sebagainya.
“Selain daripada usaha ini, kerja-kerja pemeriksaan kepada bekalan tenaga alternatif iaitu Genset sedia ada juga giat dijalankan termasuk persediaan bagi sewaan Genset tambahan untuk lokasi kritikal bagi memastikan bekalan tenaga sementara dapat terus diberikan jika bekalan TNB terpaksa diputuskan,” katanya di sini hari ini.

Beliau juga difahamkan semua syarikat Telco telah memberi komitmen yang baik semasa Mesyuarat Kesiapsiagaan Banjir Negeri Pahang dianjurkan SKMM Pahang bersama Telco baru-baru ini.
“Saya bersyukur kerana semua yang terlibat dalam kemajuan komunikasi Pahang seperti MCMC, TNB, Syarikat Telco, Telekom Malaysia (TM), kontraktor, Majlis Daerah, Penghulu, Ketua-ketua kampung dan lain-lain telah memberi komitmen yang amat baik serta memikul amanah diberikan dengan jayanya.
“Semoga persediaan yang dijalankan ini akan dapat mengurangkan gangguan sistem komunikasi jika banjir terjadi. Sama-samalah kita berdoa semoga tidak terjadinya banjir yang besar dan semua rakyat selamat serta dijauhi dari musibah-musibah,” katanya. – PAHANGMEDIA