MENTERI BESAR PAHANG TERIMA ANUGERAH PELANCONGAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 23 OKTOBER 2022 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah menerima anugerah Juara Alam Sekitar & Pelancongan Lestari (Champion of Sustainable Environment & Tourism) daripada Malaysia Tourism Council.

Anugerah berkenaan disampaikan pada Malaysia Tourism Council Gold Awards malam tadi semasa majlis makan malam tahunan sebagai penghormatan kepada para pengusaha perkhidmatan pelancongan di negara ini.

Para pemenang anugerah dipilih berdasarkan tahap penyertaan yang tinggi dalam penyelidikan serta mempunyai kedudukan yang baik dalam industri serta mereka yang dilihat berusaha untuk mendapatkan kecemerlangan dan kesempurnaan dalam perkhidmatan bagi para pelanggan.

Selain itu, Pahang turut membawa pulang anugerah Tourism Icon of The Year (Creative Tourism) yang diterima oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin dalam majlis sama.

Seramai 15 pemenang anugerah termasuklah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), YB. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri yang menerima anugerah Tourism Icon Inspirational Woman in Tourism telah diraikan dalam majlis yang dijalankan di Kuching, Sarawak.

Kesemua anugerah yang diberikan ini terbuka kepada semua perniagaan pelancongan dan pembekal kepada industri pelancongan yang berfungsi untuk menunjukkan nilai pelancongan kepada Malaysia dan juga dunia. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram