YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika Majlis Pelancaran Pecah Tanah Bagi Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera, di Rejimen Ke-34 Artileri DiRaja (Kem Bera), hari ini.

KERAJAAN PAHANG MAMPU BANGUNKAN EKONOMI BERTERUSAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

BERA, 22 OKTOBER 2022 : Kerajaan Negeri Pahang terbukti jelas berkemampuan dalam memastikan pembangunan ekonomi berterusan pada masa hadapan.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata ini dapat dilihat daripada kejayaan Kerajaan Negeri Pahang mengutip hasil mencecah RM1 bilion pada tahun ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pentadbiran Kerajaan Negeri kerana buat pertama kali berjaya mengutip hasil mencecah RM1 bilion dan menarik pelaburan berjumlah RM20.56 bilion seperti diumumkan oleh Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Pahang Tahun 2023.

“Pencapaian ini merupakan bukti jelas tentang kemampuan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan pembangunan ekonomi berterusan pada masa depan selain memelihara kemakmuran dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika Majlis Pelancaran Pecah Tanah Bagi Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera, di Rejimen Ke-34 Artileri DiRaja (Kem Bera), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pecah Tanah Bagi Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera, di Rejimen Ke-34 Artileri DiRaja (Kem Bera), hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Abdul Muttalib; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YBhg. Datuk M Noor Azman Taib; Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abdul Rahim Muda; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Norolazli Sulaiman; Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Brigedier Jeneral Khairul Izan Muhammad Suffian; dan Komander Garison Bera, Kolonel Haji Ayob Yahya.

Beliau berkata negeri Pahang merupakan negeri yang cukup istimewa dan sangat bertuah kerana dianugerahkan dengan kekayaan khazanah semula jadi.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa mendukung dan memberi kerjasama jitu dalam menjayakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Projek PPR Bera ini merupakan satu manifestasi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang terjalin sejak sekian lama.

“Bagi merealisasikan rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan membantu daripada segi pemberian subsidi, manakala Kerajaan Negeri Pahang pula akan menyediakan tanah,” katanya.

Kerajaan Pahang telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM1.037 bilion setakat 7 Oktober lepas berbanding sasaran ditetapkan iaitu RM1.036 bilion dengan kutipan melebihi 100 peratus sasaran. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram