BARISAN KEPIMPINAN PAHANG TERUS BERKHIDMAT SEBAIK TERIMA MANDAT PRU14

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim


KUANTAN, 14 OKTOBER 2022 : Barisan kepimpinan Kerajaan Pahang telah berusaha sebaik mungkin dalam berkhidmat kepada rakyat di negeri ini sebaik sahaja menerima mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).


Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Waj Rosdy Wan Ismail barisan kepimpinan Kerajaan Pahang juga tidak menunggu saat akhir untuk melakukan segala gerak kerja yang telah dirancang.


“Bermakna perkara ini kita laksanakan tanggungjawab kita sebaik mungkin untuk kita bersama-sama dengan rakyat. Bukan sahaja kata lagi sebulan dua Sidang Dewan baru kita buat itu buat ini.


“Kalau kita buat begitu tidak mungkin hutang Kerajaan Negeri daripada RM3.3 bilion akan dapat kita kurangkan kepada RM900 juta. Dan tidak mungkin juga kalau kita membuat kerja di saat-saat akhir apabila saat sidang dewan nak dibubarkan atau Parlimen bubar mana mungkin kita boleh dapat meningkatkan hasil.


“Dengan kata lain, sebaik sahaja kita diberi mandat, kepercayaan pada PRU14 yang lalu Kerajaan Negeri yang ditunjangi oleh Barisan Nasional telah berusaha lebih baik untuk deliver kepada rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media khas berkenaan pengisytiharan pembubaran Dewan Negeri Pahang Ke-14 hari ini yang turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Pahang dan Exco Kerajaan Pahang.


Menurut beliau lagi pelbagai ancaman daripada pihak yang tidak sehaluan dengan kepimpinan Kerajaan Negeri bukan suatu perkara yang boleh dipandang remeh.


“Dia dalam Pilihan Raya ini bukan satu perkara yang kita boleh ambil remeh temeh. Maknanya kita sentiasa menghadapi pelbagai ancaman daripada pihak yang tidak sehaluan dengan kita. Oleh sebab itulah di Negeri Pahang ini kita telah memulakan gerak kerja lebih awal. Bukan sahaja dekat atau hampir dengan Dewan Undangan Negeri hendak dibubarkan barulah kita buat begitu begini dan sebagainya.


“Ini boleh dibuat daripada track record seperti mana yang saya nyatakan tadi pertama sekali dari segi statistik kutipan hasil Kerajaan Negeri. Yang kedua daripada segi bagaimana kita mengurangkan hutang Kerajaan Negeri. Yang ketiga kita boleh lihat apakah yang telah Kerajaan Negeri buat kepada rakyat Negeri Pahang. Terutama sekali dari segi aspek bantuan. Seperti yang kita lihat Bantuan Prihatin Pahang sebagai contohnya, semasa Covid sebagai contohnya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram