YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

SIDANG DEWAN NEGERI : RM39 JUTA BAGI BANTUAN RUMAH ROSAK AKIBAT BANJIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Peruntukan lebih RM39 juta disediakan bagi bantuan melibatkan rumah yang rosak akibat banjir pada Disember tahun lepas.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan ini melibatkan enam jenis bantuan daripada Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan.

“Peruntukan berjumlah RM39,845,630.56 telah disediakan bagi bantuan yang melibatkan rumah-rumah rosak akibat banjir pada Disember 2021.

“Peruntukan ini meliputi projek pembangunan Bina Baru Rumah iaitu sumber peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Bantuan UAE; Baik Pulih Rumah bawah RM5,000; serta Baik Pulih Kediaman bawah RM200,000 melalui sumber peruntukan daripada ICU Pahang.

“Perincian peruntukan bagai Bina Baru Rumah (KPKT) adalah sebanyak RM952,000; Bina Baru Rumah (KPLB) RM225,000; Bina Baru Rumah (UAE) RM12,175,000; Baik Pulih Rumah bawah RM5,000 sebanyak RM4,934.730.56; Baik Pulih Kediaman (ICU Pahang) Fasa 1 bawah RM200,000 sebanyak RM8,505,000; dan Baik Pulih Kediaman (ICU Pahang) Fasa 2 bawah RM200,000 sebanyak RM 13,053,900,” katanya.

Beliau berkata demikia ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sebelum itu menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, YB. Puan Young Syefura Othman berkenaan jumlah terkini rumah mangsa-mangsa banjir pada Disember 2021 yang telah dibaik pulih dan siap, yang masih dalam proses baik pulih dan yang telah menerima bayaran tuntutan baik pulih daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, daripada kesemua jenis bantuan ini sebanyak 2,393 buah rumah telah pun siap di bina melibatkan pembinaan rumah baharu dan baik pulih kediaman.

“Bagi Bina Baru Rumah (KPKT) 16 dalam pelaksanaan dan sebuah telah pun siap; Bina Baru Rumah (KPLB) tiga dalam pembinaan; Bina Baru Rumah (UAE) 12 telah siap dan 111 dalam pembinaan; Baik Pulih Rumah bawah RM5,000 sebanyak 1,233 telah siap dan 606 dalam pembinaan.

“Baik Pulih Kediaman (ICU Pahang) Fasa 1 bawah RM200,000 sebanyak 441 telah siap; dan Baik Pulih Kediaman (ICU Pahang) Fasa 2 bawah RM200,000 sebanyak 706 telah siap dan 46 lagi dalam pelaksanaan.

“Ini menjadikan jumlah telah siap adalah 2,393 buah, dalam pelaksanaan 782 buah, dan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 3,175 buah,” katanya.

Menurut beliau, daripada jumlah peruntukan yang disediakan, peratus perbelanjaan bagi kesemua jenis bantuan ini adalah sebanyak 78 peratus daripada lebih RM39 juta yang diperuntukkan.

“Bagi Bina Baru Rumah (KPKT) sebanyak RM26,800 dibelanjakan iaitu 2.82 peratus belanja; Bina Baru Rumah (KPLB) tiada; Bina Baru Rumah (UAE) RM10,750,000 iaitu 88.30 peratus; Baik Pulih Rumah bawah RM5,000 sebanyak RM3,353,010.96 iaitu 67.94 peratus.

“Baik Pulih Kediaman (ICU Pahang) Fasa 1 bawah RM200,000 sebanyak RM6,540,000 iaitu 76.90 peratus; dan Baik Pulih Kediaman (ICU Pahang) Fasa 2 bawah RM200,000 sebanyak RM10,417,370 iaitu 79.80 peratus,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram