YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima sumbangan Persiapan Banjir oleh Petronas oleh Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Encik M. Ahmad Shazly Ramli

STATUS PEMBUBARAN SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG SELEPAS BELANJAWAN 2023 DILULUS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 13 OKTOBER 2022 : Status pembubaran Sidang Dewan Negeri Pahang akan diberitahu selepas Belanjawan 2023 Pahang diluluskan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang ingin meluluskan Belanjawan 2023 terlebih dahulu sebelum mengumumkan status perkara ini dalam masa yang terdekat.

“InsyaAllah dalam masa terdekat (umum status pembubaran), kita nak luluskan dulu bajet Belanjawan yang dibentangkan di Sidang Dewan Negeri kerana itu penting untuk rakyat.

“Kita nak dapat kelulusan supaya Kerajaan Negeri boleh berbelanja kepada rakyat. Itu dahulu. Lulus sahaja yang itu (Belanjawan 2023 Pahang), anytime (umum status pembubaran).

“Kalau tidak diluluskan (Belanjawan 2023 Pahang) kena readable balik, tak kan nak baca balik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Persiapan Banjir oleh Petronas kepada YAB Menteri Besar Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Pada majlis berkenaan, Petronas yang diwakili Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Encik M. Ahmad Shazly Ramli telah menyampaikan dua unit bot yang dilengkapi dengan enjin, tangki bahan api, serta kemudahan roda mudah alih, 1,000 unit khemah jenis C-Tent, 700 unit jaket keselamatan dan 7,000 helai baju hujan.

Sumbangan berbentuk peralatan menyelamat dan perlindungan kepada mangsa banjir itu merupakan sumbangan Petronas kepada agensi penyelamat Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam usaha membantu agensi berkenaan membuat persediaan menghadapi banjir.

Sumbangan hari ni merupakan sebahagian daripada 36 buah bot, 8,800 buah khemah, 5,500 unit jaket keselamatan dan 55,000 helai baju hujan yang disumbangkan ke 14 negeri seluruh negara oleh PETRONAS yang merupakan sebahagian daripada komitmen PETRONAS membantu mangsa banjir bernilai RM25 juta yang diumumkan pada Disember 2021.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; dan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Negeri Pahang, Kol. (PA) Che Adam A Rahman. -PAHANGMEDIA.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram