Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

SIDANG DEWAN NEGERI : KERAJAAN PAHANG KOMITED MARTABATKAN ISLAM, PENDIDIKAN DI PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang sangat komited dalam memartabatkan agama Islam di negeri ini apabila sebanyak 14 Rang Undang-Undang (RUU) telah dibentangkan dan mendapat kelulusan sejak tahun 2015 hingga 2020.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kelulusan ini termasuklah Hal Ehwal Pentadbiran Undang-Undang Islam, Wasiat, Undang-Undang Kawalan Kawalan Sekatan Pengembangan Agama, Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah, Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan kali kedua 2018), Usul penubuhan Kumpulan Wang Amanah Sekolah Agama dan Kumpulan Wang Amanah Takmir, Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam serta Undang-Undang Murtad.

“Ini adalah bukti komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang bagi memastikan agama ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan agama Islam ini bukan sahaja menitikberatkan kepada sesuatu individu dan puak serta kumpulan tetapi ia mengambil kepentingan kepada maslah semua masyarakat dan individu supaya terjaga, terpelihara dan dapat dibantu dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, bagi sektor pendidikan pula, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, pelantikan seramai 100 guru DG41 bagi perjawatan Sekolah Menengah Agama (SMA) telah dilaksanakan dengan implikasi kewangan sebanyak RM3 juta.

Malah pelbagai pembinaan bangunan dan kemudahan-kemudahan baru di SMAN dan SMA seluruh Pahang serta sumbangan khas kepada 2,680 guru KAFA turut diselaraskan.

“Kerajaan juga memperuntukkan bantuan khas kepada pondok dan tahfiz serta guru-guru yang melibatkan jumlah RM400,00 selain sumbangan RM1,000 kepada pelajar-pelajar sekolah SMA dan SMK yang berjaya dalam akademik masing-masing.

Malah katanya, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) juga telah berjaya memproses lebih 200 pengesahan sijil halal yang dikeluarkan kepada agensi-agensi dan hotel-hotel serta pihak yang menyediakan makanan dan minuman.

“JAIP juga melaksanakan pemantauan semula terhadap kelulusan sijil pengesahan halal yang telah dikeluarkan.

“Selain itu, JAIP juga melaksanakan audit pemantauan permohonan persijilan halal, program kesedaran halal kepada industri dan kursus penyembelihan yang telah dilakukan sebaik mungkin kepada kumpulan sasar,” katanya.

Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak rm300,000 bagi memastikan JAIP dapat menyediakan dokumen nikah, cerai dan rujuk yang berkualiti dan bersekuriti tinggi dan dapat mempercepatkan proses pengeluaran kad serta dokumentasi yang sah. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram