Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

SIDANG DEWAN NEGERI : MAAHAD TAHFIZ NEGERI PAHANG BAKAL DIBINA DI LIPIS BERNILAI RM15 JUTA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang dalam proses membina sebuah Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di Lipis dengan kos sebanyak RM15 juta tahun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, cadangan pembangunan maahad tahfiz berkenaan adalah melalui Yayasan Pahang.

“Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang akan membangunkan kampus cawangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang di Daerah Lipis. la bakal dikenali sebagai MTNP2 yang merupakan cawangan pertama bagi kampus induk Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di Tanjung Lumpur, Kuantan.

“Sebanyak RM15 juta diperuntukkan bagi pembangunan Fasa 1 yang bermula pembinaannya pada penghujung tahun 2022,” katanya ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau sebelum itu menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long berkenaan cadangan Kerajaan Negeri membina kampus baharu Maahad Tahfiz Negeri Pahang di luar daerah Kuantan bagi memenuhi permintaan pelajar khususnya di kawasan Pahang Barat.

Katanya, bagi kurikulum di Maahad Tahfiz baharu ini akan mengguna pakai kurikulum yang sama seperti MTNP Tanjung Lumpur.

“MTNP2 ini akan menggunakan kurikulum yang sama seperti di MTNP, Tanjung Lumpur yang merangkumi kurikulum seperti Hafazan Al-Quran, akademik arus perdana menggunakan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), serta program-program pembangunan sahsiah,” katanya.

Beliau berkata usaha ini diharapkan akan memberi peluang yang lebih luas kepada anak-anak di negeri ini khususnya yang tinggal di Pahang Barat bagi mengikuti pendidikan tahfiz secara formal dan lebih sistematik. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram