Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak

SIDANG DEWAN NEGERI : TKPM MERAPOH DIWUJUDKAN TAHUN DEPAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang akan mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Merapoh pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, ini bagi memastikan jumlah hasil pertanian negeri ini mencukupi.

“Ini adalah bagi meningkatkan pengeluaran tanaman makanan khususnya buah-buahan dan sayur-sayuran serta tanaman kontan dengan mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

“Sehingga kini terdapat 18 kawasan TKPM sedia ada. Pada tahun 2022 satu TKPM baru diwujudkan iaitu TKPM Tanjung Putus dengan keluasan fizikal 90 hektar dengan peruntukan RM1.45 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemayan, YB. Dato’ Mohd. Fadil Osman berkenaan langkah-langkah yang diambil olen Kerajaan Negeri bagi memastikan bahawa jumlah hasil pertanian yang dikeluarkan adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk Pahang dan seterusnya harga pertanian asas tidak meningkat dengan mendadak semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga tahun 2021 terdapat 18 TKPM di Negeri Pahang dengan keluasan pertanian seluas 2,334.54 hektar dengan nilai pengeluaran sebanyak RM25 juta.

“Bilangan peserta dan syarikat terlibat adalah sebanyak 328 buah, keluasan fizikal 3,935.36 hektar, keluasan bertanam 2,334.54 hektar, pengeluaran hasil keseluruhan 12,175.67 matrik tan, dengan nilai pengeluaran RM25,297,624,” katanya.

Menurut beliau lagi, langkah lain yang diambil oleh Kerajaan Pahang dalam memastikan hasil pertanian mencukupi dan memenuhi keperluan penduduk adalah dengan mewujudkan kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan.

“Mewujudkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui IADA Rompin dan IADA Pekan dalam memperluaskan Program Smart SBB (Sawah Berskala Besar) ke kawasan Luar Jelapang. Program Smart SBB ialah program bersepadu bagi meningkatkan hasil padi. la diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan BERNAS.

“Meningkatkan pengeluaran hasil tanaman melalui program-program di bawah Jabatan Pertanian iaitu Program Pengembangan Teknologi Tanaman Buah-buahan, Sayur-sayuran dan Tanaman Kontan; Program Pengembangan Teknologi Tanaman Industri dan Tanaman Berpotensi; dan Program Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan,” katanya.- PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram